PEMERIKSAAN keatas bot dikendalikan suspek menemukan pelbagai jenis barang kawalan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran Indonesia. FOTO ihsan PPM
PEMERIKSAAN keatas bot dikendalikan suspek menemukan pelbagai jenis barang kawalan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran Indonesia. FOTO ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan seorang lelaki yang disyaki cuba menyeludup keluar barang kawalan menerusi Ops Benteng Covid-19 di perairan CIQ Lama, Tawau, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 malam, sepasukan anggota PPM yang menjalankan tugas rondaan terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau Deputi Superintenden Mohd Nazari Ismail berkata, ketika diperiksa, pihaknya menemui pelbagai jenis barang kawalan dipercayai cuba diseludup ke Indonesia.

"Turut ditemui dalam bot yang dikendalikan lelaki warga tempatan itu ialah gula pasir paket 1 kilogram (kg) keseluruhan berjumlah 204 kg selain beberapa bungkus tepung jangung dan tepung pulut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nazari berkata, siasatan lanjut mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang permit atau surat pembelian barangan kawalan berjadual daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Katanya, semua barang yang dirampas termasuk sebuah bot kayu bersama enjin sangkut 60 kuasa kuda dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM21,703.40 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 11:21 AM