Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superitendan Mohd Nazari Ismail, menunjukkan anak penyu yang dirampas pagi tadi. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superitendan Mohd Nazari Ismail, menunjukkan anak penyu yang dirampas pagi tadi. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
Abdul Rahemang Taiming

CUBAAN sindiket untuk menyeludup masuk 4,000 anak penyu hidup bernilai hampir RM1 juta gagal selepas ia berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan muara Sungai Haji Kuning, Tawau, Sabah, pagi ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, sepasukan empat anggota bot peronda PGR3 diketuai Sarjan Sudin Narawie berjaya mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superitendan Mohd Nazari Ismail berkata, siasatan awal mendapati bot terbabit dikendalikan oleh seorang juragan warga Indonesia berumur 38 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap bot laju itu menemukan tiga bagasi bersaiz besar bersama dua kotak berwarna coklat disembunyikan dalam ruang kargot bot terbabit.

“Sebaik diperiksa, anggota kita menjumpai 39 kontena plastik masing-masing berisi kira-kira 120 ekor anak penyu yang masih hidup dengan jumlah keseluruhan sebanyak 4000 ekor.

“Siasatan lanjut mendapati jurangan bot itu mengaku dibayar upah sebanyak RM50 untuk membawa barang itu yang dikirim oleh seorang lelaki tanpa mengetahui isi kandungannya,” katanya pada sidang media di sini, petang tadi.

Mohd Nazari berkata, kesemua anak penyu itu dipercayai cuba diseludup masuk ke daerah ini untuk dibawa dan dijual di Semporna dengan harga pasaran yang mencecah sehingga RM250 seekor.

“Suspek kemudiannya ditahan bersama barang rampasan dan bawa ke Markas Operssi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes dirujuk dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(2)(a) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM100,000 serta boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 7:33 PM