MOHAMMAD bersama isteri dan anaknya menumpang di stor pembinaan usang di Kampung Muhibbah sejak dua tahun lalu. FOTO Togi Marzuki
MOHAMMAD bersama isteri dan anaknya menumpang di stor pembinaan usang di Kampung Muhibbah sejak dua tahun lalu. FOTO Togi Marzuki
Mohamed Farid Noh


TIGA beranak di Kampung Muhibbah dekat Kampung Masjid, pekan Nanas, Pontian, yang tinggal di sebuah stor pembinaan terbiar akan dipindahkan sementara ke rumah kosong di kampung berkenaan.

Pengarah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Abdul Rashid A Rahman berkata, penghulu kawasan berkenaan memaklumkan ada sebuah rumah kosong yang boleh ditumpangkan kepada keluarga itu buat sementara waktu.

"MAINJ sudah memberi bantuan segera sebanyak tiga kali kepada keluarga berkenaan selain ada pihak pernah membantu mendapatkan rumah dan dibayar deposit, namun terpaksa keluar selepas gagal membayar sewa bulanan.

"MAINJ juga sudah menyampaikan bantuan segera dengan sumbangan sebanyak RM500 manakala bagi penempatan sementara untuk keluarga terbabit pula, perkara itu sedang dibincangkan dengan penghulu kawasan terbabit.

"Cadangan MAINJ adalah keluarga berkenaan diberi bantuan bulanan berjumlah RM300 kerana mereka juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan buat masa ini," katanya ketika dihubungi.

Semalam NSTP melaporkan tiga beranak di Kampung Muhibbah, Kampung Masjid, Pekan Nanas Pontian, tinggal menumpang di sebuah stor pembinaan terbiar yang reput dan hampir menyembah bumi, sejak dua tahun lalu.

Mohammad Abd Samad, 62, dilaporkan tinggal di stor berkenaan bersama isterinya, Yusnimarlina Mohd Som, 42, dan anak tunggal mereka, Mohd Syahid, 8, berkata, mereka sekeluarga terpaksa tinggal di situ selepas dirinya tidak mampu membayar sewa rumah.

Sementara itu, Pengarah JKM Johor, Mohamad Hapil berkata, keluarga berkenaan juga penerima bantuan bulanan daripada JKM.

Katanya, keluarga berkenaan adalah penerima bantuan am bulanan sebanyak RM200 sejak Februari lalu menerusi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Pontian.

"JKM Johor mengambil maklum masalah dihadapi keluarga berkenaan susulan laporan berita semalam sekali gus tindakan segera dan siasatan dijalankan.

"Hasil semakan rekod kami mendapati keluarga berkenaan sememangnya menerima bantuan am JKM sebanyak RM200 sebulan dan bayaran terkini yang diterima mereka adalah pada 1 Jun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 10:16 PM