KETUA Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin. FOTO arkib NSTP
KETUA Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


ORANG ramai masih boleh ke Balai Polis Selayang jika ingin berurusan atau membuat laporan walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan kluster baharu Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, balai polis yang berada di bawah IPD Gombak masih boleh didatangi orang ramai yang ingin berurusan.

Menurutnya, mereka yang terbabit dan didapati positif Covid-19 bukan dari anggota atau kakitangan balai polis.

"Di IPD Gombak hanya di tingkat tiga saja dan Ketua Polis Daerah Gombak akan mengambil tindakan untuk melakukan pembasmian kuman.

"Laluan ke tingkat tiga tidak sama dengan laluan kes balai di bawah IPD Gombak," katanya ketika dihubungi malam ini.

Harian Metro hari ini melaporkan kluster baharu Covid-19 dikesan di IPD Gombak membabitkan lima kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes jangkitan itu membabitkan kakitangan di IPD dengan pertambahan satu lagi kes baru hari ini.

Menurutnya, apabila dapat kesan terus laksanakan aktiviti kesihatan awam iaitu mereka yang positif akan diasingkan di hospital dan diberi rawatan.

Berita berkaitan

Covid-19: Kluster baharu di IPD Gombak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 9:36 PM