KERJA-kerja sanitasi di Balai Polis Ampang. Ihsan PDRM.
KERJA-kerja sanitasi di Balai Polis Ampang. Ihsan PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Balai Polis Ampang yang ditutup sebelum ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19 susulan terdapat kes positif dalam kalangan anggota di balai berkenaan sudah mula beroperasi petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pengoperasian Balai Polis Ampang kepada orang awam bagi urusan membuat laporan polis dan permohonan rentas daerah atau negeri serta urusan lain kepada orang awam bermula 4 petang.

Menurutnya, tindakan ini diambil selepas proses sanitasi secara keseluruhan dibuat ke atas Balai Polis Ampang dan semua bahagian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

"Kerja-kerja sanitasi dilakukan oleh bomba serta pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Orang awam diminta untuk terus kekal memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi semasa berurusan di balai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Balai Polis Ampang Jaya menggantung sebarang urusan kepada orang awam sehingga 1 Mac, bagi mengekang penularan wabak Covid-19 susulan terdapat kes positif dalam kalangan anggota di balai berkenaan.

Setakat ini 11 anggota polis di balai terbabit dikesan positif Covid-19 manakala sejumlah anggota serta kakitangan awam lain diarah menjalani kuarantin kendiri.

Berita berkaitan:

  • Balai Polis Ampang gantung urusan kepada orang awam
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 5:05 PM