Balqis Jazimah Zahari


SEORANG lelaki warga Indonesia maut dihempap sisa runtuhan dinding rumah dalam binaan ketika menjalankan kerja pembersihan di sebuah kediaman di Taman Silibin Indah, Ipoh, petang ini.

Mangsa, Junaidi Razak, 40, maut di tempat kejadian yang juga menjadi salah satu kediaman terjejas akibat hakisan tanah baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.14 petang dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba jentera di lokasi ditempat kejadian didapati terdapat runtuhan pada bahagian dapur yang terletak di belakang rumah dan terdapat seorang lelaki warga Indonesia dihempap oleh sisa runtuhan.

"Sebelum ini sememangnya terdapat runtuhan tanah yang mengakibatkan struktur bahagian dapur runtuh, kerana itulah apabila mangsa melakukan kerja pembersihan berlaku runtuhan dinding lalu menghempap mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Azmi berkata, anggota bertindak mengeluarkan mangsa daripada sisa runtuhan itu dan proses mengeluarkan mangsa dilakukan dalam tempoh 5 minit.

"Bahagian kepala dan badan mangsa dihempap oleh sisa runtuhan. Mangsa disahkan maut oleh petugas kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Anggota Bomba Dan Penyelamat Meru Raya mengangkat jenazah Junaidi Razak yang dihempap sisa runtuhan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Anggota Bomba Dan Penyelamat Meru Raya mengangkat jenazah Junaidi Razak yang dihempap sisa runtuhan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

"Kita juga akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca berlakunya kejadian berkenaan. Hasil siasatan awal kita mendapati, ia berpunca daripada runtuhan tanah sebelum ini. Di bahagian bawah terdapat anak sungai dan apabila terdapatnya runtuhan tanah berhampiran rumah ia mengakibatkan juga runtuhan pagar rumah dan seterusnya ia menghempap mangsa," katanya

Saksi dan juga pemilik rumah, Moses James, 59, berkata, ketika kejadian dia sedang minum petang bersama pekerja lain di kediaman berkenaan.

"Ketika sedang berbual, tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat dan saya terus berlari ke bahagian belakang. Saya lihat dinding sudah runtuh dan pekerja berkenaan berada di bawah runtuhan.

"Kami cuba meminta bantuan untuk mengeluarkan mangsa sebelum memanggil pasukan penyelamat. Pekerja yang dibayar upah ini melakukan kerja pembersihan sejak tiga hari lalu," katanya.

Berita berkaitan

'Setiap hari bimbang tanah runtuh'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 8:51 PM