Amir Abd Hamid


PENGUSAHA dan pelanggan restoran di ibu negara akur dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan kerajaan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melonggarkan syarat operasi dengan memberikan kebenaran pelanggan makan di premis.

Sebelum ini, kerajaan tidak membenarkan makan di premis ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memutuskan penularan Covid-19.

Tinjauan Harian Metro pada waktu puncak makan tengah hari antara 12 tengah hari hingga 2 petang hari ini di Bangsar, Kuala Lumpur mendapati kebanyakan premis masih kurang pelanggan makan di restoran dan lebih ramai memilih bungkus.

Pengurus Restoran Nasi Kandar Rasmeena, Seeni Naina Mohamad, 30, berkata, setiap hari pada 6 pagi sebelum beroperasi, semua pekerja akan menyusun meja dan bangku mengikut SOP serta melakukan pembersihan sanitasi.

"Dulu kita letak 30 meja, sekarang hanya 15 meja sahaja. Satu meja hanya menetapkan dua pelanggan sahaja boleh duduk. Setiap pekerja turut diarahkan pakai pelitup muka.

"Pelanggan hanya dibenarkan masuk selepas menulis nama dan nombor telefon. Suhu badan mereka juga diambil, yang sihat sahaja kita bagi masuk.

"Meniaga agak baik dan ramai pelanggan lebih suka bungkus dan bawa balik," katanya.

Pelanggannya, Amran Abdullah, 43, yang bekerja sebagai pemandu lori mengakui kali pertama dia lepak semula kedai mamak selepas hampir tiga bulan bertahan.

"Dah lama tak dapat minum teh tarik di restoran. Rasa lain tak melepak di kedai mamak. Saya suka nasi dan kari mamak, itu yang tak boleh tinggal.

"Apa yang penting, ikut apa kerajaan arahkan. SOP kena ikutlah sebab Covid-19 kita tak nampak. Memang ada rasa takut juga." katanya.

Bagi pelanggan Kedai Makan Nam Chuan di Taman Lucky, Robert Fong, 65, berkata, dia tidak mengetahui bahawa pelanggan sudah dibenarkan makan di kedai.

Tinjauan di Restoran Haslam, Bangsar orang ramai yang menjamu selera mengamalkan penjarakan sosial 1 meter pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO AMIRUDIN SAHIB
Tinjauan di Restoran Haslam, Bangsar orang ramai yang menjamu selera mengamalkan penjarakan sosial 1 meter pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO AMIRUDIN SAHIB

"Saya tak tahu sudah boleh makan dalam kedai makan. Sebaik sahaja PKP dikuatkuasakan saya tetap datang tapau (bungkus) sahaja sebab ini kedai kegemaran saya dan juga tinggal di sini.

"Hari ini saya bungkus makanan mahu bawa balik. Selepas ini saya akan makan sahaja di kedai, sebab lebih mudah," katanya.

Penyelia Restoran Haslam, Jalan Pantai Baru, Muhammad Khairul Fahme, 34, pula menjelaskan pihaknya terpaksa mengurangkan pekerja sebab hampir kehilangan separuh jumlah pelanggan berbanding sebelum Covid-19.

Menurutnya, untuk SOP pembukaan kedai dan penutupan setiap hari pihaknya akan memastikan kebersihan tetap diutamakan dengan jumlah pekerja sedia ada.

"Untuk kemasukan pelanggan, setiap pelanggan akan dimasukkan nama, menggunakan pembersih kuman di tangan dan diambil suhu badan.

"Pelanggan juga dihadkan untuk mengikut SOP penjarakan sosial. Selepas musim perayaan Aidilfitri ini ramai juga yang makan di kedai berbanding sebelum ini bungkus dan bawa balik.

"Waktu PKPB ketika ini pelanggan hadir antara 300 hingga 400 orang sehari berbanding waktu PKP bawah 100 pelanggan yang beli bungkus.

"Alhamdulillah, selepas ada kelonggaran semakin ramai pelanggan datang," katanya.

Pelanggannya, Muhammad Fikri Rosalan, 30, berkata, sejak kerajaan melonggarkan PKP ke PKPB, ia memberikan impak yang positif apabila orang ramai boleh berkunjung makan di restoran.

"Saya kerap datang sini sebelum PKP. Namun SOP kena ikut seperti yang kerajaan tetapkan. Kita kena patuh bagi membendung penularan Covid-19.

"Ini kali pertama saya makan di luar sejak PKP. Rindu nak makan kat luar," katanya yang turut membawa isteri, Norzahirah Mohd Yusof, 29.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 6:29 PM