TINJAUAN orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuat kuasa dalam kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 27 Oktober. FOTOMohd Fadli Hamzah
TINJAUAN orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuat kuasa dalam kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 27 Oktober. FOTOMohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh kerajaan baru-baru ini ternyata mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Bagaimanapun, masyarakat kini dilihat lebih matang dan mampu mengikut segala Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan antaranya hanya dua orang dibenarkan makan semeja di kedai makan atau restoran.

Rata-rata mereka yang ditemui mengaku agak sukar untuk mengikut SOP untuk duduk berdua semeja, namun terpaksa mengikut segala SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.

Penjawat awam, Samantha Tan Chiew Ming, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mengikut SOP terbabit dan menganggap keadaan berkenaan memberi lebih keselesaan kepada dirinya.

"Saya rasa duduk dua orang semeja itu bagus, lebih selamat dan keadaan di dalam kedai pun kurang sesak. Buat masa sekarang (pematuhan SOP) itu penting bagi bendung penularan Covid-19.

"Sebagai pelanggan saya rasa idea itu sangat bagus, cuma pemilik premis berkenaan terpaksa tanggung kerugian kerana kini mereka tidak lagi boleh memuatkan ramai orang pada satu masa.

"Jadi saya harap, orang ramai kini dapat bertimbang rasa dan tidak duduk di meja itu terlalu lama dan beri peluang kepada orang lain untuk makan di kedai berkenaan," katanya.

Lain pula reaksi yang diberikan seorang lagi penjawat awam, Malathi Ponnusamy, kerana merasakan keadaan itu tidak sesuai bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang besar.

"Namun bagi mengelakkan perkara itu terjadi, saya terpaksa bungkus sahaja makanan dan bawa ke rumah.

"Tapi saya akur, apa yang dilakukan ini untuk keselamatan kita juga. Secara tidak langsung membendung lebih ramai lagi dijangkiti Covid-19," katanya.

Sementara itu, pemilik restoran, Wan Aisah Wan Kamaruddin, berkata pelaksanaan PKPB itu sedikit sebanyak mengganggu perniagaannya.

"Sebelum ini kita boleh memuatkan ramai pelanggan dalam satu masa, namun kerana inginkan penjarakan fizikal kita terpaksa menjarakkan kedudukan meja antara satu sama lain.

"Ia memberi keselesaan kepada pelanggan kami kerana terdapat jarak antara satu meja dengan meja yang lain. Namun, dari segi perniagaan, kita rugi sedikit kerana pelanggan akan mencari kedai lain jika lihat kedai kita penuh dan tidak mahu disaman jika duduk di kedai yang terlampau ramai orang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 5:46 PM