GAMBAR HIASAN. Aktiviti pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ketika berada di asrama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan fasa ketiga. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
GAMBAR HIASAN. Aktiviti pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ketika berada di asrama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan fasa ketiga. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Murni Wan Omar dan Raja Noraina Raja Rahim


ARAHAN meminta penuntut di beberapa institut pengajian tinggi (IPT) supaya mengosongkan barangan mereka di asrama ditarik balik.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa arahan itu sudah dibatalkan berikutan larangan rentas negeri oleh kerajaan.

"Seperti saya katakan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan kecuali kecemasan dan suami isteri terpisah.

"Saya dapat makluman daripada KPT bahawa arahan itu dibatalkan. Jadi mereka tidak perlu tergesa-gesa pulang ke kampus masing-masing untuk mengambil barangan.

"Tinggal dulu lah untuk sementara waktu sampai masanya kita benarkan tapi bukan sekarang," katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai aduan penuntut yang mendakwa menerima memo mengosongkan asrama pada tarikh tertentu namun mereka tidak diberi kebenaran oleh polis untuk rentas negeri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 574 penuntut IPT dijadualkan dihantar pulang melalui dua penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Menurutnya, seramai 55,848 penuntut sudah dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing sejak 27 April lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 4:02 PM