GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

KANAK-KANAK berusia lima tahun dari Taman Sanhill Barat, Sibu, digigit anjing peliharaannya yang positif rabies, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) memaklumkan kanak-kanak berkenaan digigit anjing peliharaannya Isnin lalu dan keadaannya dilaporkan stabil serta sedang menerima rawatan.

"Keputusan ujian pada 27 Mei (kelmarin) melalui ujian Antigen Rapid Rabies Ag Test menunjukkan anjing itu positif rabies.

"Sampel anjing berkenaan juga dihantar ke Makmal Diagnosa Veterinar Sarawak untuk ujian makmal Direct Fluorescent Antibody Technique (FAT)," katanya pada sidang media harian jawatankuasa itu di Kuching, hari ini.

Wabak rabies pertama di Sarawak diisytiharkan pada 1 Julai 2017 kini memasuki tahun keempat, namun ia masih terkawal dan sejak Januari tahun ini sehingga kelmarin, JPVS menerima 1,254 jumlah notifikasi kes gigitan haiwan, membabitkan 81.9 peratus haiwan bertuan dan 18.1 peratus haiwan liar.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Uggah berkata, beliau mengarahkan semua agensi dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian untuk bersiapsiaga menghadapi musim kemarau yang bakal tiba bagi memastikan semua logistik dan sumber manusia dapat digerakkan pada bila-bila masa.

"Saya juga ingin menasihati semua rakyat Sarawak untuk bersedia menghadapi musim kemarau dengan langkah-langkah seperti meminum air secukupnya, mengurangkan aktiviti di luar, elak daripada melakukan pembakaran terbuka, jangan membuang puntung rokok di kawasan belukar, memakai pelitup muka dan menyimpan bekalan air secukupnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 9:16 PM