PENYUMBANG menyusun barangan sumbangan sebelum diambil penerima di dewan Sekolah Kebangsaan Kuang. FOTO ihsan Solusi
PENYUMBANG menyusun barangan sumbangan sebelum diambil penerima di dewan Sekolah Kebangsaan Kuang. FOTO ihsan Solusi
Hadzlan Hassan


KEPRIHATINAN warga Malaysia menjalankan kerja amal tidak hanya berpaksikan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan atau agensi kerajaan saja malah ada individu yang menubuhkan rangkaian mereka sendiri untuk menabur bakti.

Itulah dibuktikan sekumpulan pemilik yang terbabit secara tidak langsung dalam perniagaan yang menggelarkan diri mereka sebagai BNI (Rangkaian Perniagaan) Solusi sekitar Rawang yang bergabung mengumpul dana bantuan.

Lebih menarik, selain golongan usahawan, program disertai pakar motivasi, Dr Azuraida Shahadan yang menjadi antara penggerak program berkenaan.

Ketua Projek Solusi Prihatin Zon 2, Firdaus Al Bakri berkata, seramai 17 individu terbabit dalam program dianjurkan di musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk mengumpul dana secara 'kutipan kilat'.

Menurutnya, kerana pergerakan terhad, pihaknya terpaksa mengetatkan syarat pergerakan dan penyerahan barangan sumbangan mengikut prosedur operasi standard (SOP) .

"Walaupun terhad, kita mampu mengumpul sumbangan mencukupi untuk 50 anak yatim, fakir miskin dan lebih 100 keluarga yang terjejas menjelang lebaran baru-baru ini.

"Antara sumbangan diberikan ialah barangan makanan, lampin bayi, susu bayi, baucer pakaian hari raya, baucer kelengkapan ibu dan bayi, makanan siap masak, permainan untuk kanak-kanak dan wang tunai," katanya.

Sementara itu, Presiden BNI Solusi, Adil Shahrom berkata, program berkenaan turut mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Gombak, Sekolah Kebangsaan Kuang, Sekolah Kebangsaan Sri Kundang selain syarikat swasta dimiliki oleh ahli Solusi .

"Program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu golongan yang terjejas ketika wabak tanpa mengira bangsa, agama atau warna kulit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 4:21 PM