ANTARA 28 warga Indonesia yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA 28 warga Indonesia yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


CUBAAN 28 warga Indonesia pulang ke kampung untuk sambutan Aidilfitri menggunakan laluan tikus gagal apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 di Kampung Sawah di Banting, semalam.

Turut ditahan tiga tekong laut dan dua tekong darat berusia antara 24 hingga 53 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, ketika rondaan dilakukan, satu tongkang dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan.

"Pemeriksaan menemui 28 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Indonesia yang cuba dibawa keluar menggunakan laluan berkenaan.

"Semua warga asing yang ditahan berusia antara 19 hingga 39 tahun termasuk seorang wanita dipercayai menggunakan khidmat tekong berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulafendy berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan bernilai RM41,800.

Katanya, semua warga asing itu dikumpulkan oleh tekong darat dan dibawa menaiki tongkang oleh tekong laut.

"Lima tekong terbabit ditahan dan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Manakala semua warga Indonesia disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Banting untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 2:17 PM