Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling

SATU persetujuan dicapai antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan negeri Sabah untuk menghantar pulang pelajar dari negeri itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelajar terbabit akan menjalani saringan terlebih dulu sebelum dihantar pulang dan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Katanya, mereka tidak perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin sebaliknya di rumah masing-masing.

"Timbul isu iaitu mereka tidak mampu membuat kuarantin wajib kepada pelajar dari Semenanjung kerana kekurangan tempat.

"Dengan persetujuan daripada kerajaan negeri Sabah, KKM dan KPT ini maka kita harap isu pelajar negeri Sabah tidak dapat pulang dapat diselesaikan dengan segera," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Beliau berkata, semalam KPT menghantar pulang 1,646 pelajar ke kampung masing-masing dengan 652 pelajar dihantar pulang ke Sarawak menerusi empat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bintulu, Miri, Kuching dan Sibu.

"Manakala 574 pelajar dihantar ke Kota Kinabalu menerusi dua penerbangan iaitu sebuah penerbangan dari Kuching seramai 160 pelajar dan satu penerbangan ulang alik dari Bintulu seramai 227 pelajar," katanya.

Menurutnya, KPT sudah menghantar 49,019 pelajar ke pangkuan keluarga masing-masing dan hari ini 418 pelajar akan dibawa pulang ke pangkuan keluarga.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 1,175 dikesan cuba merentas negeri dengan alasan untuk balik ke kampung.

Katanya, biarpun pelbagai nasihat sudah diberikan pihak berkuasa, namun masih ramai yang melanggar peraturan untuk bergerak merentas negeri.

"Saya nasihatkan tak usahlah kerana bila diarahkan berpatah balik, tentu saja menyusahkan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:07 PM