MAZLINA menunjukkan ayam yang dibelinya di sebuah kedai di TTDI Jaya. FOTO Ruwaida Md Zain
MAZLINA menunjukkan ayam yang dibelinya di sebuah kedai di TTDI Jaya. FOTO Ruwaida Md Zain

Ruwaida Md Zain

"MINGGU lalu, saya beli ayam pada harga RM4.60 sekilogram tetapi minggu ini naik RM7.10 sekilogram, memang berbeza sangat harganya," ujar seorang suri rumah, Azie Surip, 44.

Menurutnya, ayam itu dibeli di pasaraya sama di Shah Alam, Selangor, pada minggu lalu dan hari ini.

Bagaimanapun dia mengakui ayam segar adalah lebih mahal di kedai runcit biasa berbanding harga ditawarkan di pasaraya besar.

Seorang kakitangan swasta, Mazlina Jo, 38, berkata, dia yang menjadi pelanggan tetap sebuah kedai runcit berdekatan pejabatnya juga mendapati harga ayam dibeli meningkat berbanding sebelum ini.

"Biasanya murah sedikit, tetapi hari ini saya beli pada harga RM7.80 sekilo dan saya dapati harganya turut meningkat di kedai runcit lain. Ada antaranya meningkat hingga RM8.10 sekilogram," katanya.

Menurut seorang lagi suri rumah, Che Siti Zura Che Daud, 40-an, ayam dibelinya jauh lebih murah iaitu sekitar RM5 pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kini harga ayam naik mendadak lebih RM2 mencecah RM7.50 hingga RM7.80 berbanding minggu lalu sekitar RM6.80 sekilo," katanya.

Sementara itu, bagi seorang peniaga santan, Marazra Omar, 44 pula, memaklumkan masih mengekalkan harga santan RM8 sekilogram walaupun ramai peniaga meletakkan harga sekitar RM10 hingga RM12 sekilo.

"Saya jual harga ini sebab saya hendak kekalkan pelanggan setia yang selalu membuat tempahan dan membeli dengan saya.

"Lagipun sejak awal Ramadan, saya sudah mula menerima tempahan santan untuk Aidilfitri sejak PKP. Rezeki saya Alhamdulillah.. Ramai datang membeli santan mungkin ramai masak sendiri sekarang," katanya yang membuka kiosk menjual santan sejak dua tahun lalu di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 10:13 PM