HASANUDDIN menunjukkan satu laras senapang dilengkapi penyenyap bunyi yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah Kampung Banggol Merbol Gua Sitok,  Rantau Panjang ketika sidang media di IPK Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HASANUDDIN menunjukkan satu laras senapang dilengkapi penyenyap bunyi yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah Kampung Banggol Merbol Gua Sitok, Rantau Panjang ketika sidang media di IPK Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim

POLIS Kelantan menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga Thailand dan merampas selaras senapang serta 129 biji peluru dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Rantau Panjang, pagi semalam.

Dalam serbuan pada 6.45 pagi itu, polis turut merampas dadah dan menyita kenderaan dengan nilai keseluruhan RM212,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Tasek Cina Gual Sitok, polis menahan dua individu termasuk seorang wanita.

"Susulan tangkapan berkenaan, polis turut membuat serbuan di Kampung Banggol Merbok Gual Sitok dan menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

"Kesemua suspek ditahan berusia 27 hingga 42 tahun dan kedua-dua suspek lelaki masing-masing mempunyai empat dan lima rekod jenayah lampau.

"Hasil serbuan berkenaan, polis merampas selaras senapang Cal.22 bersama 129 biji peluru, 800 biji pil kuda, tiga botol mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dan satu paket plastik disyaki dadah jenis syabu.

"Pada masa sama, polis turut menyita lima motosikal, dua kereta dengan nilai keseluruhan sebanyak RM212,000," katanya pada sidang media, Kota Bharu, hari ini.

Hasanuddin berkata, hasil siasatan mendapati, senjata api berkenaan digunakan untuk keselamatan diri ketika proses penjualan dadah.

"Kesemua suspek direman seminggu sehingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971," katanya.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, dalam empat kes berasingan iaitu sejak Rabu minggu lalu sehingga semalam, polis menahan lima individu yang terbabit dengan pengedaran dadah selain memiliki senjata api.

Katanya, serbuan di empat lokasi berasingan di sekitar Kota Bharu, Bachok dan Rantau Panjang turut merampas dua pucuk pistol, selaras senapang angin buatan sendiri dan dadah jenis syabu dan pil yaba bernilai hampir RM40,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 6:06 PM