Muhaamad Hafis Nawawi


KUMPULAN pertama gelandangan membabitkan 43 orang bakal memulakan kehidupan baharu mereka di Sitiawan, Perak selepas diterima bekerja oleh beberapa syarikat di sana.

Mereka yang sebelum ini ditemuduga kerja berlepas 6.30 petang hari ini menaiki dua bas disediakan ke Sitiawan, Perak untuk bekerja selain turut diberi kemudahan tempat tinggal.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kumpulan pertama itu dipindahkan dari pusat transit selepas dipilih beberapa syarikat bekerja di Sitiawan termasuk di kilang pembuatan makanan.

Menurutnya, 96 orang pula terbabit dalam kerja pembungkusan barangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan Anjung Singgah selepas diterima bekerja di Top Glove Sdn Bhd.

"Manakala yang lain kira-kira 200 orang pula akan dibawa untuk berkursus selama sebulan untuk meningkatkan potensi mereka dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum diambil bekerja oleh DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

"Jadi kita harap 500 gelandangan selepas ini yang ditemuduga akan mendapat kerjaya baharu kerana yang dikenal pasti ini produktif, boleh bekerja, sihat tubuh badan dan usianya masih boleh bekerja," katanya pada sidang media selepas sesi Pelepasan Penempatan Pekerjaan Kumpulan Gelandangan di Lobi Menara DBKL, Kuala Lumpur, hari ini.

ANNUAR bergambar bersama gelandangan yang akan bergerak ke Sitiawan. FOTO Bernama
ANNUAR bergambar bersama gelandangan yang akan bergerak ke Sitiawan. FOTO Bernama

Annuar berkata, tawaran gaji juga lumayan sekitar RM1,400 ke RM1,600 dan ini boleh dijadikan sebagai permulaan buat mereka.

"Jadi saya ucapkan terima kasih kepada semua syarikat berkenaan yang menyahut seruan kita untuk memberi peluang kepada gelandangan ini.

"Malah jika ada permintaan lain seperti di pasar borong yang memerlukan tenaga kerja kita akan usahakan kerana jika ikutkan permintaan itu lebih di mana sebagai contoh syarikat di Sitiawan, Perak inginkan 200 pekerja namun kita hanya boleh menghantar 43 orang dahulu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain untuk membantu gelandangan luar dari Kuala Lumpur mendapat pekerjaan.

Sebelum ini terdapat sembilan majikan yang dikenal pasti, antaranya Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd, Harumi Brands Sdn Bhd, Top Glove Sdn Bhd, Tesco Malaysia dan Trendcell Sdn Bhd yang memenuhi kriteria JTK WPKL serta mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menawarkan peluang pekerjaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 8:57 PM