SYILING Peringatan Jubli Emas Masjid Negara ke-50.
SYILING Peringatan Jubli Emas Masjid Negara ke-50.

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena ulang tahun ke-50 Masjid Negara yang dibuka secara rasmi pada 27 Ogos 1965.

Duit syiling berkenaan dalam tiga spesifiksi iaitu emas, perak dan emas Nordic. Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 99.99 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram.

BNM berkata, nilai muka duit syiling itu ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping.

Sementara itu, duit syiling perak diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM200 sekeping. Sebanyak 2,000 keping sahaja ditempa.

Bagi duit syiling emas Nordic pula, nilai mukanya ialah RM1 dan dijual RM10 sekeping. Sebanyak 25,000 keping sahaja ditempa.

Semua harga tertakluk kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Bahagian hadapan duit syiling peringatan ini memaparkan imej Masjid Negara manakala bahagian belakang memaparkan perkataan ‘BANK NEGARA MALAYSIA’ dan nilai muka syiling tertera di bahagian bawah reka bentuk duit syiling terbabit.

Duit syiling peringatan itu akan mula dijual pada hari ini di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) dan pejabat perwakilan dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 6:39 AM