SUASANA orang ramai yang beratur menunggu giliran berurusan di Bangunan LHDN, Ayer Keroh. FOTO Nazri Abu Bakar
SUASANA orang ramai yang beratur menunggu giliran berurusan di Bangunan LHDN, Ayer Keroh. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


MENUNGGU lebih tiga jam. Itu antara tindakan orang ramai yang mahu membuat rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ,Ayer Keroh, Melaka.

Tinjauan wartawan mendapati, orang ramai sanggup beratur panjang di kerusi disediakan di luar pejabat dengan mematuhi arahan penjarakan sosial termasuk memakai pelitup muka.

Shafarina Mohd Fahmi, 35 berkata, dia menemani suaminya membuat rayuan BPN di lokasi itu.

"Kami menunggu hampir tiga jam, namun urusan berkenaan belum selesai berikutan jumlah pengunjung yang ramai dengan urusan masing-masing.

"Walaupun lama menunggu, kami tetap bersabar berikutan yakin rayuan akan diterima.

"Berdasarkan pendapatan bulanan, kami layak menerima bantuan berikutan pendapatan isi rumah di bawah RM 4,000 sebulan," katanya yang menunggu di luar bangunan.

Menurutnya, biarpun ramai, semua mereka kelihatan tenang, bersabar dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk dalam kalangan petugas.

Idris Jafar, 56, berkata, dia hadir ke pejabat LHDN menghantar anaknya yang juga pelajar kolej untuk membuat rayuan.

Katanya, suasana tetap terkawal walaupun pada awalnya mereka terpaksa beratur di luar bangunan untuk menunggu giliran.

"Apapun, saya berharap rayuan permohonan BPN anak saya diluluskan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan membeli keperluan pembelajarannya.

"Urusannya selesai kira-kira 2 petang, namun apa yang pasti kami tetap sabar menunggu dengan tenang bagi memastikan bantuan diluluskan kelak," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sebelum ini berkata, lanjutan itu dibuat selepas kerajaan menerima dan mendengar rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima BPN atas pelbagai sebab.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 5:57 PM