Zatul Iffah Zolkiply


IBU tunggal empat anak berharap rayuannya untuk mendapat Bantuan Prihatin Negara (BPN) diterima, selepas dia tidak mempunyai pendapatan melainkan pencen.

Zaliha Mahamud, 63, dari Marang berkata, dia hadir ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Terengganu di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuala Terengganu pada 1 tengah hari untuk memohon.

Katanya, dua anak masih dalam tanggungannya dengan seorang daripadanya dikategori orang kurang upaya (OKU) sejak lahir.

"Tidak dinafikan, saya ada pencen sebagai pesara dan terima juga pencen arwah suami tetapi jika diikutkan syarat diumumkan, saya layak untuk menerima BPN.

"Malah, saya juga menanggung anak OKU dan anak bongsu yang masih menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam," katanya.

Bagi Mohd Bahdrul Hizan Omar, 47, dia bersama isteri, Norkamisa Ali@Awang, 39, berharap permohonan mereka diterima memandangkan pendapatan mereka sebagai tukang urut terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

ORANG ramai ke pejabat LHDN Terengganu untuk membuat rayuan BPN, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
ORANG ramai ke pejabat LHDN Terengganu untuk membuat rayuan BPN, hari ini. FOTO Ghazali Kori.

Katanya, dia yang menerima pencen sebagai pesara tentera sebanyak RM1,200, mengusahakan pusat urutan sejak bersara pada 2014 bersama isteri.

"Memang terkesan sebab duit pencen tidak cukup untuk menampung keperluan harian seperti sewa rumah, kedai dan kereta serta perbelanjaan harian yang lain sehingga kami terpaksa menggunakan simpanan yang ada.

"Wang simpanan pun semakin susut dan alasan permohonan ditolak kerana kami berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sedangkan perniagaan itu hanyalah kecil-kecilan," katanya.

Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai lanjutan rayuan BPN menyebabkan pejabat LHDN Terengganu sesak dan jadi tumpuan.

Tinjauan mendapati orang ramai mula menunggu seawal 7.30 pagi meskipun pejabat hanya dibuka pada 8 pagi. Pihak LHDN turut menyediakan kerusi yang ditetapkan mengikut penjarakan sosial selain mereka hadir memakai pelitup muka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 6:00 PM