ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan Dr Santhara Kumar.
ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan Dr Santhara Kumar.
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN berterusan diambil pihak berkuasa bagi membersihkan ibu negara daripada penguasaan ekonomi oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) dan membuka peluang kepada warga tempatan berniaga serta bekerja.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, kerajaan mendengar keluhan rakyat yang sudah muak dengan permasalahan PATI.

"Disebabkan itu, tindakan konsisten terhadap PATI diambil bagi membasmi mereka daripada menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak dibenarkan.

"Kuala Lumpur harus dikembalikan kepada rakyat Malaysia dan kami mahu rakyat terus menyokong kami bagi menjayakan misi ini," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang terhadap PATI terus dijalankan di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur.

"Bagi warga asing yang tidak mempunyai dokumen akan dibawa ke depot tahanan imigresen selepas ujian saringan Covid-19 menunjukkan keputusan negatif sebelum pengusiran dibuat.

"Mereka yang memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) pula akan disemak status kesahihan taraf pelarian," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat serbuan di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur bermula kira-kira jam 8 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 1:40 PM