JALALUDDIN (baju putih) bertanya sesuatu kepada Pati yang ditahan pada Operasi Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
JALALUDDIN (baju putih) bertanya sesuatu kepada Pati yang ditahan pada Operasi Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Segelintir pemilik premis perniagaan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dikesan mengubah suai premis untuk disewa kepada warga asing bagi mendapatkan keuntungan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai kehadiran warga asing di pasar borong itu.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati ada satu premis itu diubah suai untuk menempatkan lima bilik yang disewa puluhan warga asing yang dikenakan bayaran RM100 bagi setiap 'kepala' (individu) sebulan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan juga, kami menyita tiga premis serta barang jualan yang didapati dikendalikan oleh warga asing," katanya pada sidang media di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Seramai 401 pegawai dan anggota penguat kuasa membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terbabit dalam operasi itu.

Jalaluddin berkata, pihaknya memberi amaran keras terhadap pemilik premis perniagaan yang masih berdegil menyewakan premis kepada pihak ketiga.

"Kita akan mengenakan tindakan tegas terhadap pemilik premis perniagaan yang dikesan memberi sewaan premis kepada warga asing serta pendatang asing tanpa izin (Pati) sehingga wujud budaya monopoli perniagaan di sekitar pasar borong.

"Ini termasuk mengambil tindakan membatalkan lesen mereka serta merta termasuk menyita barang jualan," katanya.

Katanya, operasi itu diadakan untuk membanteras penyalahgunaan dadah serta penyewaan premis perniagaan kepada warga asing yang diubahsuai sebagai tempat tinggal.

"Justeru itu, kita akan meningkatkan operasi di seluruh ibu kota bagi mengesan individu yang melanggar undang-undang sekali gus mengekang aktiviti haram secara menyeluruh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 12:09 PM