Anggota polis membuat kawalan di pekan Rembau berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.  FOTO NSTP
Anggota polis membuat kawalan di pekan Rembau berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


TERDAPAT 45 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Negeri Sembilan membabitkan 43 kes di Rembau dan dua kes di Port Dickson, hari ini.

Kenyataan dikeluarkan lewat petang ini oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) itu menunjukkan kumulatif kes Covid-19 setakat ini adalah 726 kes.

Rembau menjadi satu-satunya daerah berstatus zon merah susulan kluster baharu Covid-19 membabitkan kilang memproses ayam di Pedas, manakala tiga daerah zon kuning iaitu Seremban, Jempol dan Port Dickson dan zon hijau pula membabitkan Tampin, Kuala Pilah dan Jelebu.

Setakat ini, Seremban merekodkan 348 kes, Rembau (184), Tampin (19), Jempol (14), Port Dickson (12), Kuala Pilah (6) dan Jelebu (2) manakala stesen kuarantin sebanyak 140.

Jumlah pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke dalam wad keseluruhannya berjumlah 302 dengan Seremban membabitkan seramai 35 orang, Rembau (130), Jempol (2) dan Port Dickson tiga manakala stesen kuarantin seramai 132.

Kenyataan itu turut menyebut kes sembuh setakat ini berjumlah 416 manakala kematian kekal lapan kes iaitu membabitkan enam orang di Seremban diikuti masing-masing satu di Rembau dan Kuala Pilah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 7:12 PM