Abdul Rahim menunjukkan umang-umang yang menusuk telapak kaki kirinya. FOTO Hassan Omar
Abdul Rahim menunjukkan umang-umang yang menusuk telapak kaki kirinya. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


SEORANG nelayan menahan bisa akibat tertusuk duri umang-umang yang patah di dalam telapak kaki kirinya selama 16 jam sebelum ia berjaya dikeluarkan melalui pembedahan.

Abdul Rahim Azali, 34, menanggung kesakitan tidak terperi selepas kaki kirinya tertusuk duri hidupan laut itu ketika membersihkan tapak pendaratan perahu gentian kacanya di pantai berhampiran Balai Nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Alor Gajah, petang Selasa lalu.

Dalam kejadian 5 petang itu, Abdul Rahim membersihkan pantai itu bagi membolehkannya meletakkan perahu yang dipindahkan dari Pangkalan Nelayan Kampung Sungai Kertah, kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.

"Waktu itu saya membersihkan semak dan serpihan kayu yang memenuhi pantai itu untuk membolehkan perahu saya pindahkan dan diletakkan di kawasan itu.

"Tiba-tiba kaki kiri saya terasa amat sakit apabila terpijak benda tajam dan saya terkejut mendapati duri seekor umang-umang menembusi kasut dipakai dan umang-umang itu melekat pada tapak kasut.

"Kesakitannya membuatkan saya terduduk, tetapi tetap menggagahkan diri untuk mencabut umang-umang itu daripada melekat pada kaki dan ketika itulah saya rasakan bisanya yang sangat menyeksakan," katanya.

Nelayan masih bujang itu dibantu rakan yang membawanya ke Hospital Alor Gajah dan menjalani pembedahan kecil untuk mengeluarkan duri patah itu pada 9 pagi semalam.

Hanya selepas duri berkenaan dikeluarkan, Abdul Rahim mampu berjalan dengan sempurna berbanding terpaksa melangkah dengan bertunjangkan tumit kiri sambil menahan kesakitan.

"Beberapa tahun lalu tangan kanan saya pernah tertusuk sengat ikan duri ketika menarik jaring, tetapi bisanya tidak sesakit duri umang-umang kerana sengat ikan itu tidak terpatah dalam tangan.

"Bagaimanapun, kedua-dua kejadian ini tidak pernah melunturkan semangat saya untuk terus mencari rezeki di laut bagi menyara kehidupan yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 2:24 PM