MD Noor menggunakan tongkat kaki empat selepas kaki kirinya terpijak kaca di pantai Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar.
MD Noor menggunakan tongkat kaki empat selepas kaki kirinya terpijak kaca di pantai Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar.
Hassan Omar


SIKAP tidak bertanggungjawab individu gemar membuang botol kaca ke dalam laut menyebabkan nelayan warga emas hampir kehilangan ibu jari kaki kiri akibat terpijak serpihan kaca.

Md Noor Mat, 69, berkata ibu jari kaki kirinya luka akibat terpijak serpihan botol kaca di pantai Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, sehingga ia merebak menjadi kecederaan serius.

Dalam kejadian 12 tengah hari awal Disember lalu, nelayan terbabit baru menjejakkan kaki di pantai ketika pulang daripada menangkap ikan bersama anaknya, Mohd Sham, 39.

“Ketika kejadian, air hampir surut dan saya bersama anak turun dari perahu dan bersedia untuk menarik perahu naik ke pangkalan dengan menggunakan 'winch.'

“Tiba-tiba saya lihat air laut menjadi merah, kaki kiri terasa pedih dan apabila saya angkat kaki, terpacak kaca pada tapak kaki dekat dengan ibu jari," katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan berkenaan, hari ini.

Pada mulanya lelaki warga emas itu hanya menampal luka berkenaan dengan kain pembalut luka, menyebabkan luka itu bertambah dalam dan dijangkiti kuman, sekali gus menyebabkan dia terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah.

Bagaimanapun, nelayan veteran itu terpaksa dirujuk ke Hospital Melaka selepas luka bertambah serius dan bernanah hingga menyebabkan ibu jari itu berisiko terpaksa dipotong, selain dibimbangi kuman merebak ke seluruh bahagian kaki.

“Minggu lalu saya menjalani pembedahan bagi membuang daging yang sudah membusuk dan Alhamdulillah, selepas itu saya hanya perlu menjalani rawatan membersihkan luka setiap hari.

“Saya bernasib baik kerana ada anak perempuan berumur 20-an yang berani membersihkan luka itu," katanya.

Md Noor yang sudah 50 tahun mencari rezeki di laut mendakwa, ada segelintir anggota masyarakat termasuk pelancong yang berkelah di pantai Kuala Sungai Baru membuang botol kaca ke dalam laut tanpa memikirkan keselamatan orang lain.

Berikutan kecederaan itu, Md Noor bukan saja tidak mampu turun ke laut, malah terpaksa menggunakan tongkat empat kaki setiap kali melangkah dan membalut pergelangan kaki kirinya dengan plastik bagi mengelakkan dijangkiti kuman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 2:52 PM