ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Dataran Sunway, semalam. FOTO ihsan polis
ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Dataran Sunway, semalam. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


LIMA wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan pelacuran di sebuah premis di Dataran Sunway, Kota Damansara, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama pihak penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuat serbuan di premis itu kira-kira 5 petang.

"Hasil serbuan kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang juga penjaga premis terbabit serta lima wanita warga asing berusia antara 30 hingga 42 tahun.

"Soal siasat awal dilakukan terhadap lima wanita terbabit mendapati mereka mengaku sebagai pekerja di premis berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut menemui pelbagai jenis barang yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.

"Antara barang yang dirampas adalah minyak urut, kondom, tuala, tisu, telefon bimbit, kad sim serta sejumlah wang tunai pelbagai mata wang.

"Siasatan lanjut berhubung tangkapan itu masih dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan suspek terutama dalam aktiviti pelacuran di daerah ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 10:03 PM