NIK EZANEE pada sidang media berhubung kejayaan pihak polis menumpaskan beberapa kes samun, pecah rumah, pelacuran dan perjudian dalam talian di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya. FOTO BERNAMA
NIK EZANEE pada sidang media berhubung kejayaan pihak polis menumpaskan beberapa kes samun, pecah rumah, pelacuran dan perjudian dalam talian di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan empat wanita dalam serbuan Op Noda di dua hotel sekitar daerah ini, kelmarin, selepas dipercayai terbabit dengan aktiviti pelacuran.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan tiga wanita warga asing di sebuah hotel di Kota Damansara pada jam 4 petang.

"Seorang lagi wanita pula ditahan jam 9.40 malam di sebuah hotel di Mentari Business Centre. Semua wanita yang ditahan berusia 24 hingga 39 tahun.

"Kami turut merampas 16 kondom, dua cecair dan dua kad hotel. Kes disiasat mengikut Seksyen 378 B Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, tiga individu termasuk seorang wanita ditahan dalam Op Dadu atau Loteri Awam Tanpa Lesen pada hari sama.

"Seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan jam 12 tengah hari di sebuah premis bengkel motosikal di Desa Mentari dan kami merampas satu pencetak, dua kertas disyaki loteri awam tanpa lesen dan satu telefon bimbit.

"Kami turut menahan lelaki dan seorang wanita warga asing masing-masing berusia 23 dan 46 tahun jam 4.30 petang di Pekan Lama Petaling Jaya selain merampas dua telefon bimbit, dua komputer riba, 16 tablet, dua modem serta satu kalkulator," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 7:08 PM