Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan terdapat data hasil ujian pengesanan Covid-19 yang dijalankan pihak swasta tidak dilaporkan kepada pihaknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data yang tidak dimaklumkan kepada KKM itu menyebabkan berlaku data tertunggak.

Bagaimanapun, katanya, semua data yang tidak dimaklumkan kepada pihaknya itu adalah hasil keputusan ujian yang negatif.

"KKM akan mengemaskini perangkaan semasa Covid-19 selepas mendapat input keputusan ujian yang tertunggak daripada beberapa institusi kemudahan kesihatan swasta, akhir minggu ini atau minggu depan.

"Data sedang dikemaskini, setakat ini jumlah kes positif kita memang tepat, tetapi jumlah kes negatif ada yang tidak dilaporkan, justeru kita akan ambil tindakan.

"Mengikut perangkaan semasa, kita sudah laksanakan 227,436 ujian saringan, tetapi ia akan berubah selepas data daripada pihak swasta diperoleh, membabitkan keputusan ujian yang negatif.

DR Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

"Oleh itu, besar kemungkinan kes yang sudah diuji akan berlaku peningkatan dan ia akan dikemaskini seawal-awalnya Jumaat ini," katanya pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masa yang diperuntukkan bagi melaksanakan ujian saringan Covid-19 dan mengeluarkan keputusan itu adalah antara 24 jam hingga 48 jam.

Namun, katanya, berlaku kes membabitkan keputusan saringan yang lambat dilaporkan walaupun kadar kemampuan KKM untuk mengendalikan pengesanan ketika ini ditingkatkan menjangkau 20,635 ujian setiap hari.

"Jumlah ujian yang boleh dilakukan ini hanya mengambil kira kaedah Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR), tidak termasuk kit ujian pantas antigen yang sudah diperoleh dari Korea Selatan.

"Sebenarnya kemampuan KKM mengendalikan ujian sudah ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi, namun laporan keputusan ujian sesetengahnya mengambil masa antara 24 hingga 48 jam. Oleh itu, memang ada laporan keputusan yang mengalami kelewatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 7:19 PM