MOHD Sharkar (kanan) di  sidang sidang media pengumuman pemenang bulan Februari Pertandingan Video Pendek ‘Pahang Simply Awesome’ di MPK. FOTO Shahrinnahar Latib
MOHD Sharkar (kanan) di sidang sidang media pengumuman pemenang bulan Februari Pertandingan Video Pendek ‘Pahang Simply Awesome’ di MPK. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


SEKTOR perhotelan di Pahang mengalami kerugian kira-kira RM500 juta berikutan penularan pandemik Covid-19 sehingga akhir bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kerugian ini membabitkan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak pembatalan tempahan menyebabkan hotel mengalami kerugian yang agak teruk.

"Sebab itu boleh dikatakan sektor perhotelan adalah industri yang paling terkesan dengan pandemik Covid-19 ini, kita jangkakan sektor ini akan pulih sehingga tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman pemenang bulan Februari Pertandingan Video Pendek Pahang Simply Awesome di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), hari ini.

Turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang, Datuk Idros Yahya dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Mohd Sharkar berkata, beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia melaksanakan Kempen Melawat Malaysia pada 2022.

"Umum mengetahui kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) dibatalkan susulan penularan Covid-19.

"Justeru saya mencadangkan supaya kempen ini dilaksanakan semula pada 2022 bagi meningkatkan kembali sektor pelancongan di Malaysia.

"Rakyat juga digalakkan untuk melancong di dalam negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Tourism Pahang membuat keputusan untuk menangguhkan sementara Pertandingan Video Pendek Pahang Simply Awesome sehingga ke satu masa yang dirasakan bersesuaian berikutan penularan wabak Covid-19.

"Keputusan ini dibuat bagi mengambil kira keadaan semasa yang belum pulih sepenuhnya di samping saranan kerajaan untuk mengekang penularan wabak ini daripada terus merebak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 5:40 PM