ICQS Bukit Kayu Hitam . FOTO Arkib NSTP
ICQS Bukit Kayu Hitam . FOTO Arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli


SEKATAN jalan di sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam masih ditutup kepada kenderaan awam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pintu sempadan Malaysia-Thailand hanya dibenarkan untuk lori pengangkutan perdagangan sahaja.

Beliau berkata, pihaknya akan membuka sekatan jalan di Kepala Batas, di Jitra, bermula hari ini untuk laluan orang ramai, manakala sekatan jalan di Kodiang masih ditutup.

Beliau berkata, ini kerana sekatan di Kodiang hampir dengan sempadan Perlis dan masih ditutup untuk mengelak orang luar masuk ke Jitra.

"Bagaimanapun perjalanan merentas dari daerah ke daerah sudah dibenarkan setakat ini.

"Kita akan menambah pasukan pemantau yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) untuk memantau pergerakan orang ramai di kawasan tumpuan ramai," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.

Dalam pada itu, Mohd Ismail berkata, pihaknya juga menggalakkan orang ramai memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di tempat awam seperti pasar awam, bank dan pasar raya.

Beliau berkata, pemantauan dilakukan untuk memastikan masyarakat patuh dengan penjarakan sosial dan kebersihan diri sebagai langkah untuk mengelak penularan Covid-19.

"Selain itu pemantauan turut dilakukan berikutan arahan kerajaan negeri yang tidak membenarkan orang ramai makan di restoran atau kedai makan cuma pembelian bungkus sahaja dibenarkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 8:48 AM