BAEYAH (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas termasuk sepucuk pistol tiruan dan alat pengatur cara untuk mencuri kenderaan pada sidang media, hari ini. FOTO Danial Saad.
BAEYAH (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas termasuk sepucuk pistol tiruan dan alat pengatur cara untuk mencuri kenderaan pada sidang media, hari ini. FOTO Danial Saad.
Nur Izzati Mohamad


DUA lelaki yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Jawi, Nibong Tebal pada 19 April dipercayai terbabit sindiket curi kenderaan mewah di Johor, Selangor dan Pulau Pinang sejak Januari lalu

Malah penahanan mereka berusia 27 dan 30 tahun turut membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Tanjung Piandang, Perak pada keesokan harinya dan menemui pelbagai peralatan mencuri kenderaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Deputi Superintendan Baeyah Abd Wahab berkata, ketika ditahan pada 12.20 tengah malam, mereka masing-masing memandu Toyota Velfire berada dalam keadaan mencurigakan selain melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka gagal beri alasan munasabah dan pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol di bawah tempat duduk pemandu hadapan dan beberapa peralatan termasuk alat pengatur cara untuk mencuri kenderaan mewah.

"Siasatan ke atas kenderaan digunakan juga mendapati ia kenderaan curi dan suspek menggunakan lambang Jata Pahang palsu untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Keesokan harinya, serbuan dibuat ke rumah suspek berusia 27 tahun di Tanjung Piandang dan menemui pelbagai peralatan mencuri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Nibong Tebal hari ini.

Baeyah berkata, semua rampasan termasuk dua kenderaan mewah itu dianggarkan bernilai lebih RM200,000 dan pihaknya giat memburu tiga lagi ahli sindiket itu yang masih bebas.

"Sindiket ini bergiat aktif sejak awal Januari lalu dan seorang daripada suspek ditahan mempunyai enam rekod jenayah lampau curi kenderaan dan dadah," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960; Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955; Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987; Seksyen 3(2) Akta 787 kerana penggunaan gelaran palsu dan Peraturan 11(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 5:30 PM