Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Gaya hidup mewah seorang pemilik kedai gas memasak membongkar kepada kegiatan memproses dan mengedar dadah jenis heroin dilakukannya di sebuah kondominium elit di Bukit Tambun, di sini, sejak tiga bulan lalu.

Bertindak melalui maklumat, sepasukan polis menyerbu kondominium itu yang dijadikan makmal memproses bahan larangan berkenaan pada 10 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, melalui serbuan 7.30 malam itu mendapati terdapat dua lelaki berusia 39 dan 51 tahun yang sedang sibuk memproses dadah.

"Hasil pemeriksaan ke atas kondominium itu menemui sejumlah dadah heroin dengan anggaran berat 13,580 gram (g) bersama serbuk kafein seberat 6,950g dianggarkan bernilai RM184,335.

"Polis turut menemui cecair kimia bersama peralatan memproses dadah berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan ke atas dua lelaki itu membawa lagi kepada beberapa serbuan sekitar daerah Seberang Perai Selatan dengan menahan lima lagi lelaki termasuk ketua sindiket yang hidup mewah dengan hasil mengedar dadah.

Menurutnya, ketua sindiket berusia 34 tahun ditahan di tempat letak kenderaan kondominium itu manakala empat lagi berusia 24 hingga 51 tahun ditahan dalam serbuan di sekitar kawasan berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati ketua sindiket yang juga pemilik kedai gas memasak menjalani kehidupan serba mewah dengan menyewa kondominium itu dengan sewa RM1,800 sebulan sejak tiga bulan lalu dan menjadikannya makmal bagi memproses dadah jenis heroin.

"Semua yang ditahan termasuk ketua sindiket mempunyai kepakaran memasak dadah berkenaan dan mereka memasarkan dadah ini di kawasan utara semenanjung ," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua suspek yang positif dadah itu pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan jenayah dan dadah.

MUSTAFA Kamal (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO NUR IZZATI MOHAMAD
MUSTAFA Kamal (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO NUR IZZATI MOHAMAD

Menurutnya, polis turut menyita aset sindiket terdiri daripada enam kenderaan termasuk tiga kereta mewah iaitu BMW dan Mercedes Benz, barang kemas dan wang dalam akaun semuanya dianggarkan bernilai lebih RM266,000.

"Secara keseluruhannya jumlah rampasan dadah dan sitaan adalah lebih RM450,000.

"Ketujuh-tujuh suspek itu direman selama tujuh hari bermula 11 September lalu hingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 7:54 PM