PENIAGA buah-buahan bermusim hanya dibenarkan berniaga di lokasi ditentukan MBSP. FOTO Farizul Hafiz Awang
PENIAGA buah-buahan bermusim hanya dibenarkan berniaga di lokasi ditentukan MBSP. FOTO Farizul Hafiz Awang
Nur Izzati Mohamad


MAJLIS Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membenarkan penjualan buah-buahan bermusim di tepi jalan bagi membantu peniaga mencari sumber pendapatan ketika berdepan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, peniaga perlu mematuhi syarat ditetapkan dengan memohon permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sebelum memulakan perniagaan mereka.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri pada Selasa lalu memutuskan untuk memberi kebenaran kepada peniaga buah-buahan bermusim untuk berniaga di tepi jalan.

"Namun, peniaga hanya dibenarkan untuk berniaga di lokasi yang ditentukan oleh MBSP sahaja.

"Justeru, mereka perlu membuat permohonan untuk mendapatkan permit dan setiap peniaga boleh memohon satu lokasi sahaja," katanya dalam sidang media di laman rasmi Facebook MBSP, hari ini.

Rozali berkata, peniaga yang diberi permit hanya dibenarkan membuka satu atau dua kanopi, manakala satu lori atau pikap sahaja boleh digunakan.

Menurutnya, mereka juga dilarang membuka meja untuk pelanggan duduk makan, sebaliknya hanya beli dan bawa pulang sahaja.

"Peniaga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan merekod nama dan nombor telefon pelanggan melalui aplikasi PgCare, kawalan had masa dan bilangan pelanggan pada satu masa serta memastikan penjarakan sosial.

"MBSP berharap peniaga dan pelanggan yang membeli buah-buahan bermusim dapat mengamalkan normal baharu sekali gus memutuskan rantaian penularan Covid-19," katanya.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang www.mbsp.gov.my atau berkunjung ke Jabatan Pelesenan, Tingkat 1, Menara Bandaraya MBSP, Bandar Perda di Bukit Mertajam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 2:17 PM