Hamzah Osman


HASRAT pasangan Muhammad Fadzeli Aznan, 27, dan Nor Haslinda Hashim, 25, memeterai ikatan sebagai suami isteri tercapai, hari ini, selepas ditunda sebulan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Malah, mereka menjadi pasangan pertama di Langkawi yang mengadakan majlis akad nikah ketika PKP.

Majlis akad nikah pasangan itu berlangsung di Pejabat Agama Daerah Langkawi (PADL), pada 9 pagi disempurnakan Pegawai Agama Daerah, Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin.

Bapa pengantin perempuan, Hashim Awang menjadi wali pernikahan disaksikan dua kakitangan PADL, Ismail Md Noor dan Shaiful Aswad Kasa.

Muhammad Fadzeli juga kakitangan hotel berkata, dia dan pasangannya bersyukur kerana majlis akad nikah ringkas itu diadakan dalam tempoh 15 minit sahaja.

"Sepatutnya majlis akad nikah kami berlangsung pada 27 Mac lalu tetapi ditunda kerana pelaksanaan PKP, kami reda atas kekangan yang berlaku.

"Ia (majlis) menjadi kenangan sepanjang hayat buat saya dan isteri," katanya yang belum merancang mengadakan majlis kenduri dalam tempoh terdekat.

PASANGAN pengantin baharu, Muhammad Fadzeli  dan Nor Haslinda mengaminkan doa dibaca Pegawai Agama Daerah, Syeikh Zainul Mukhtar (kiri) sejurus selesai majlis akad nikah di Pejabat Agama Daerah Langkawi. FOTO Hamzah Osman
PASANGAN pengantin baharu, Muhammad Fadzeli dan Nor Haslinda mengaminkan doa dibaca Pegawai Agama Daerah, Syeikh Zainul Mukhtar (kiri) sejurus selesai majlis akad nikah di Pejabat Agama Daerah Langkawi. FOTO Hamzah Osman

Sementara itu, Syeikh Zainul Mukhtar berkata, secara keseluruhannya sebanyak 38 permohonan diluluskan untuk melangsungkan pernikahan ketika PKP di Langkawi.

"Majlis mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP iaitu menjaga jarak sosial, memakai penutup mulut dan hidung dan menyediakan pensanitasi tangan.

"Kita turut mengehadkan hanya tiga individu boleh hadir bagi setiap pasangan iaitu pengantin lelaki dan perempuan serta wali pernikahan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 11:33 AM