PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP Sarawak melakukan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan. FOTO KPDNHEP
PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP Sarawak melakukan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan. FOTO KPDNHEP
Melvin Joni


PEMILIK enam premis di seluruh negeri dikompaun serta merta kerana gagal mempamerkan tanda harga serta menjual barangan melebihi harga kawalan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, dua daripada kes terbabit berlaku di daerah ini semalam.

"Pemeriksaan mendapati, tiada tanda harga dipamerkan. Pemiliknya dikompaun RM2,000 bagi dua kes berasingan.

"Tindakan diambil mengikut Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Sebuah premis perniagaan di Sibu pula dikompaun RM5,000 kerana menjual gula pasir paket satu kilogram melebihi harga kawalan," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Stanley, tiga kes lagi masing-masing sebuah premis di Limbang, Miri dan Mukah yang mana ia membabitkan kompaun keseluruhan RM3,000.

Stanley berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 28 April ini, KPDNHEP Sarawak melaksanakan pemeriksaan ke atas 15,593 premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar.

"Daripada jumlah itu, 405 kes dihasilkan dengan nilai rampasan RM2,443,198.88.

"Kompaun dikenakan pula berjumlah RM83,650," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 8:21 PM