KERETA suspek yang ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di jalan Pedas - Ulu Kanchong, Rembau. FOTO IHSAN POLIS
KERETA suspek yang ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di jalan Pedas - Ulu Kanchong, Rembau. FOTO IHSAN POLIS
Mohd Khidir Zakaria


SEORANG lelaki tempatan ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di Sekatan Jalan Raya (SJR) di jalan Pedas-Ulu Kanchong kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan membawa rokok seludup, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan (DSP) Anuar Bakri Abdul Salam berkata, dalam kejadian sekitar 9 pagi itu, suspek berusia 29 tahun itu ditahan ketika menaiki kereta Toyota Camry berwarna hitam.

"Hasil pemeriksaan di dalam but kereta itu menemui lima kotak mengandungi 250 karton rokok dipercayai diseludup dan tidak dibayar cukai.

"Suspek ditahan mengikut seksyen 135 Akta Kastam dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020," katanya dalam satu kenyataan media di Rembau, hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut selepas permohonon reman dibuat di Mahkamah Majistret Rembau.

Menurutnya, jika sabit kesalahan melanggar PKP boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi kesalahan memiliki rokok seludup dan tidak membayar cukai eksais, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sehubungan itu, masyarakat harus sentiasa mematuhi PKP yang sedang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu hingga 12 Mei ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 3:53 PM