ROKOK yang dirampas dalam kenderaan digunakan suspek. FOTO Ihsan PDRM
ROKOK yang dirampas dalam kenderaan digunakan suspek. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Sabran Md Sani


POLIS menumpaskan dalang pengedaran rokok seludup di Skudai, berikutan penahanan seorang lelaki bersama 200 kartun rokok di Taman Unku Tun Aminah, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire dalam operasi jam 10.25 pagi.

Katanya, penahanan lelaki berasal dari Jalan Cerong Lanjut, Kuala Terengganu itu dilakukan dua anggota cawangan peronda ketika melaksanakan Ronda Cegah Jenayah di kawasan terbabit.

Ketika itu katanya, sebuah Toyota Vellfire berwarna emas dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan menemui rokok seludup.

“Anggota kemudian merampas 200 kartun rokok termasuk 100 kartun rokok warna hijau berjenama dan 100 kartun rokok berwarna merah berjenama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggota kemudian menahan suspek terbabit dan merampas Toyota Vellfire yang memuatkan rokok disyaki tanpa cukai.

Beliau berkata, suspek ditahan reman bermula hari ini mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, sehingga siasatan kes ini selesai.

Sekiranya didapati bersalah, hukuman bagi kesalahan pertama ialah denda minimum 10 kali ganda nilai barang dan maksimum sebanyak 20 kali ganda nilai barang, atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 12:47 PM