GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Bisnes HM


PADIBERAS Nasional Berhad (BERNAS) memberi jaminan untuk terus memelihara kestabilan harga serta memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi, terutamanya ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

BERNAS dalam kenyataan berkata, wabak Covid-19 telah menyebabkan beberapa negara mengalami kenaikan harga makanan asas seperti beras yang sekaligus menimbulkan kebimbangan bekalan sukar diperolehi.

“Seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MOA) serta kementerian-kementerian lain yang berkaitan, keadaan keselamatan dan bekalan makanan negara adalah terkawal.

“Bekalan beras yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia mudah diperolehi dan harga beras di pasaran runcit masih kekal sebagaimana sebelum penularan wabak Covid-19,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, harga jualan BERNAS kepada pemborong adalah kekal dan tidak berubah untuk beras putih tempatan dan beras import sejak beberapa tahun yang lalu.

“Walaupun harga beras di pasaran dunia telah meningkat berikutan Covid-19, BERNAS tetap terus komited untuk memantau serta memastikan harga pasaran beras kekal stabil serta berpatutan.

“Sebarang lebihan harga kos atau operasi akan dibiayai oleh BERNAS sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kenyataan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengenai BERNAS diberikan subsidi dan MOA memonopoli beras import adalah sangat tidak berasas.

“Sehingga hari ini, BERNAS terus melestarikan tanggungjawabnya kepada rakyat dalam mengawasi perkembangan industri padi dan beras serta menjalankan obligasi sosial negara antaranya dalam sektor pengimportan beras, pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani, menguruskan Skim Pengilangan Padi Bumiputera, membeli padi daripada petani pada harga terjamin dan bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani.

“BERNAS juga akan terus bekerjasama dengan MOA dalam memastikan kelangsungan industri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 8:52 PM