ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Sarawak menjalankan proses penyahkuman di sekitar Bandaraya Kuching. FOTO Bernama
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Sarawak menjalankan proses penyahkuman di sekitar Bandaraya Kuching. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


JUMLAH Zon Merah Covid-19 kekal 30 tetapi Sarawak merekodkan peningkatan mendadak sebanyak 22 kes positif menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 436 kes, setakat 12 tengah hari semalam.

Berdasarkan infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikongsi melalui Facebook rasmi KKM, hari ini, selain Sarawak turut mencatatkan peningkatan kes positif adalah Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

Peningkatan itu berikutan beberapa daerah zon merah di negeri berkenaan merekodkan kes baharu.

Data itu menunjukkan Sarawak yang mempunyai 414 kes pada Isnin meningkat kepada 436 kes semalam, berikutan peningkatan kes yang berlaku di daerah Kuching.

Selain itu, Kuala Lumpur mencatatkan 1,021 kes dengan peningkatan kes positif berlaku di Cheras, Lembah Pantai dan Titiwangsa manakala Selangor mempunyai 1,356 kes berikutan peningkatan kes di Petaling.

Di Pahang pula, kes baharu di daerah Jerantut menyumbang kepada peningkatan kes di negeri berkenaan dengan jumlah terkini 279 kes.

Tiga negeri masing-masing hanya meningkat satu kes dengan Melaka kini mencatatkan 188 kes, Negeri Sembilan (409) dan Johor (645).

Secara keseluruhan 5,482 kes positif Covid-19 di seluruh negara dengan bilangan kes aktif sebanyak 2,041 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 3:35 PM