GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan JAWI
GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan JAWI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


PERNIKAHAN secara dalam talian (online) susulan penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilaksanakan di Perak selagi tiada keputusan dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri (JFN) Perak.

Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi Facebook hari ini berkata, keputusan membenarkan perkara itu juga perlu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Nikah online dalam tempoh PKP tidak akan dilaksanakan di Perak selagi tiada keputusan dari JFN Perak dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Perak.

“Sebarang keputusan dari JFN Perak atas perkenan DYMM Tuanku Sultan Perak mesti kita menghormatinya. Harap maklum,” katanya ringkas menerusi kenyataan itu.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada Sabtu lalu membenarkan berlangsungnya majlis akad nikah dalam talian pertama di negara ini dilakukan secara sidang video (video conference).

Mohd Akmal berkata, sebaliknya rakyat Perak yang ingin melangsungkan pernikahan dalam tempoh PKP diminta masih berpegang kepada Tatacara Khas Majlis Akad Nikah (TKMAN) Versi 2.0 seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada 16 April lalu.

Menerusi TKMAN terbaharu yang akan berkuat kuasa mulai 22 April (esok) itu, majlis akad nikah hanya boleh dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah dengan mematuhi segala langkah pencegahan daripada dijangkiti Covid-19 yang ditetapkan.

Ketetapan yang harus dipatuhi antaranya majlis hendaklah berlangsung dalam tempoh 30 minit membabitkan tiga sesi setiap hari iaitu 9.30 pagi, 11.30 pagi dan 2.30 petang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 10:02 PM