FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


PERNIKAHAN 800 pasangan yang sudah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam negeri Johor (JAINJ) terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, jumlah itu adalah pasangan yang sepatutnya bernikah sejak 21 Mac lalu hingga 28 April ini.

Katanya, penundaan kesemua majlis keraian, pernikahan itu telah diputuskan bagi menjaga keselamatan dan mematuhi PKP sekali gus menghentikan penularan wabak Covid-19.

“Menerusi pekeliling-pekeliling pengurusan nikah, cerai dan rujuk sepanjang PKP, JAINJ menangguhkan semua majlis akad nikah dalam PKP bermula 21 Mac lalu hingga 28 April ini atau mengikut tempoh PKP berakhir.

“Keputusan itu juga telah mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Jadi tiada majlis akad nikah akan dilaksanakan sepanjang tempoh ini.

“Kita juga memutuskan untuk tidak melaksanakan akad nikah secara atas talian,” katanya pada sidang media pembayaran zakat atas talian di Pusat Islam Iskandar, di Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, Tosrin memaklumkan pihaknya bersama JAINJ dan Majlis Agama Islam negeri Johor (MAINJ) akan mengedarkan risalah panduan solat tarawih di rumah kepada orang ramai bermula esok.

“Semua umat Islam di negeri ini diminta menunaikan solat tarawih di rumah masing-masing. Kita akan mengedarkan panduan solat berkenaan bermula esok,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 6:04 PM