EZAD LAZIM
EZAD LAZIM
Mohd Amin Jalil


INISIATIF digerakkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membantu memenuhi keperluan petugas barisan hadapan bagi menangani wabak Covid-19 mendapat sokongan penyanyi terkenal tanah air, Ezad Lazim.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 41, menghulurkan tangan sebagai sukarelawan untuk menghantar cecair pensanitasi tangan USIM ke Gua Musang, Kelantan.

Pertolongan secara sukarela bekas vokalis kumpulan Exists itu ditawarkan beliau selepas meluangkan masa menyaksikan proses menyediakan cecair itu oleh pasukan FaST LaB USIM di Nilai, semalam.

Ezad berkata, beliau gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada sukarelawan terhadap usaha murni dilakukan USIM.

“Saya gembira kerana berpeluang menjadi sukarelawan dan dapat menyumbang pensanitasi tangan dan perisai muka untuk barisan hadapan kita.

“Terbaik buat Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM,” katanya sebelum bertolak ke Gua Musang, hari ini.

Cecair pensanitasi tangan dihasilkan USIM disumbangkan secara percuma kepada barisan hadapan khususnya di hospital, klinik kesihatan, pusat kuarantin dan pasukan keselamatan dalam usaha memerangi Covid-19.

Pensyarah Kanan Teknologi Kimia Industri di FST, Dr Syaza Azhari menyambut baik kesungguhan penyanyi itu untuk membantu menghantar bekalan cecair terbabit.

Beliau berkata, sejak berita USIM menghasilkan cecair pensanitasi tangan itu, pihaknya menerima banyak permintaan dari seluruh negara.

“Kita cuba penuhi permintaan ini, tetapi bagi lokasi agak jauh, memang kita hadapi kekangan untuk menghantar contohnya permintaan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Kelantan.

“Alhamdulillah, Ezad secara sukarela menawarkan diri untuk menghantar bekalan ke sana dan beliau bergerak bersama pensyarah FST Dr Mohd Azman Hashim,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 315 botol cecair pensanitasi tangan itu akan diagihkan di setiap pos kawalan pasukan keselamatan di sepanjang laluan Gombak, Bentong, Raub, Kuala Lipis sehingga Gua Musang.

Katanya, terdapat kira-kira 13 hingga 15 pos kawalan yang diwujudkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sepanjang laluan berkenaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“IPD Gua Musang akan menerima 70 botol yang akan diserahkan sebelum mereka kembali semula ke Kuala Lumpur.

“Cecair pensanitasi tangan dihasilkan USIM ini mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sehingga kini lebih 5,000 botol dihasilkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 6:32 PM