KEMBALI berlakon dengan watak berbeza.
KEMBALI berlakon dengan watak berbeza.
Ridzuan Abdul Rahman

Kemunculan ramai penyanyi baharu dengan pelbagai identiti tersendiri belum dapat menandingi kelunakan dan kemerduan suara Ezad Lazim yang juga bekas penyanyi kumpulan Exists.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 42, jelas berada pada kelas tersendiri yang sukar digugat penyanyi lain sehingga kini.

Dia yang masih aktif dalam karier nyanyian, membuka diari bulan ketiga 2022 dengan single terbaharu berjudul Bidadari.

"Syukur, saya masih diberikan rezeki dalam nyanyian walaupun pernah berdepan ujian yang hebat semasa bermulanya pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

"Peminat pula kini terbuai dengan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar yang kembali popular sejak ditularkan oleh YouTuber Indonesia, Nabila Maharani Widyadewi secara duet dengan Zinidin Zidan.

"Namun sebagai penyanyi, saya perlu terus menghasilkan single terbaharu dan Bidadari adalah hadiah saya buat peminat," katanya.

Menurutnya, lagu itu mengisahkan mengenai seorang jejaka yang sering terbayang dan bermimpi kehadiran bidadari dalam kehidupannya.

"Ia sebuah lagu menarik apabila kisah yang dicoretkan adalah pengalaman sebenar yang dilalui komposer dan penulis liriknya iaitu Don Ozel.

"Sukar digambarkan perasaan saya apabila lagu ini akhirnya menemui peminat. Ia satu karya penuh makna yang menghargai keberadaan seorang wanita dalam hidup si jejaka.

"Ia diilhamkan selepas penciptanya mendengar ceramah apabila ustaz itu mengatakan seseorang yang 'single' pasti akan bertemu dengan seorang bidadari di sana nanti," katanya.

Ezad berkata, proses rakaman dan pembikinan video muzik berjalan dengan lancar biarpun beberapa kali terpaksa ditunda berikutan keadaan semasa negara akibat penularan Covid-19.

"Saya begitu teruja dengan lagu rancak ini yang lain daripada lagu pernah saya nyanyikan. Dengan sentuhan gubahan muzik oleh Hadi Rumnan membuatkan lagu ini berlainan daripada yang pernah saya nyanyikan. Bidadari juga menunjukkan sisi lain diri saya sendiri untuk dipersembahkan kepada semua peminat," katanya.

EZAD harap lagu Bidadari diterima.
EZAD harap lagu Bidadari diterima.

Ezad berkata, lagu ini sepatutnya sudah dilancarkan tahun lalu, namun penularan Covid-19 yang melanda negara sedikit memberi kesan kepada 'timeline' pelancaran Bidadari

"Bagaimanapun, saya amat bersyukur apabila pasukan Datu Entertainment berjaya menyiapkan Bidadari lebih awal daripada jangkaan. Besar harapan saya agar Bidadari dapat memenangi hati peminat yang tak pernah jemu memberi sokongan kepada saya.

"Kalau ikutkan ini adalah single kedua saya bersama Datu Entertainment selepas single pertama berjudul Leka. Saya lebih selesa bekerja secara projek dengan mana-mana label tanpa terikat dengan kontrak," katanya.

Lagu Bidadari kini sudah berada di semua platform streaming dan video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Datu Entertainment.

Watak berbeza

Ezad yang pernah popular membintangi filem antaranya Mami Jarum dan Mami Jarum Junior kini kembali aktif berlakon drama.

"Hampir beberapa drama saya berikan persetujuan untuk berlakon antaranya 7 Hari Mencintaiku 3 arahan Jamal Khan. Saya suka cerita ini kerana watak ditawarkan lain daripada yang dibawakan sebelum ini apabila saya kerap diberikan watak komedi.

"Kali ini saya dapat watak serius dan nak membuktikan yang saya juga boleh buat watak begini. Selalunya asyik komedi saja," katanya.

Ezad kini berada di Kedah untuk menyambung semula penggambaran drama Misi Anak Bulan sebanyak lima episod untuk Ramadan di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 6:00 AM