SEORANG daripada dua suspek yang ditahan ketika cuba mencuri kabel di kawasan jejambat Centre Park Bandar Utama, Damansara, Petaling Jaya, Sabtu lalu, cedera selepas terjatuh.
SEORANG daripada dua suspek yang ditahan ketika cuba mencuri kabel di kawasan jejambat Centre Park Bandar Utama, Damansara, Petaling Jaya, Sabtu lalu, cedera selepas terjatuh.
Nurul Hidayah Bahaudin


CUBAAN dua lelaki mencuri kabel gagal apabila berjaya diberkas pihak polis dalam kejadian di kawasan jejambat Centre Park Bandar Utama, Damansara, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepasukan anggota yang menjalankan rondaan di lokasi berkenaan sebelum terserempak suspek dalam keadaan mencurigakan jam 12.10 tengah hari.

“Seorang daripada suspek terus melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis dengan melompat dari atas jejambat itu dan jatuh dengan ketinggian lebih tujuh meter.

“Tindakan suspek itu menyebabkannya mengalami kecederaan pada tangan kanan dan patah tulang pinggul,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap dua motosikal ditunggang suspek menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan curi kabel di sekitar daerah ini.

“Semakan terhadap kedua-dua suspek masing-masing berusia 47 dan 39 tahun itu mendapati mereka mempunyai rekod berkaitan dadah.

“Kami turut merampas pelbagai barangan termasuk dua motosikal, spanar, gergaji besi, telefon bimbit, playar pemotong kabel, ves keselamatan dan satu set kabel,” katanya.

Dalam kejayaan berasingan, beliau berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang sebelum ini melarikan diri dalam tangkapan terdahulu membabitkan kegiatan pecah rumah pada 7 Mac lalu.

“Dalam tangkapan terdahulu, lelaki berkenaan dikenali sebagai Rajan ditahan bersama dua lagi suspek sebelum berlaku pergelutan menyebabkan dia berjaya meloloskan diri.

“Hasil soal siasat dilakukan terhadap dua suspek yang ditahan, sepasukan anggota membuat serbuan di sebuah flat di Kota Damansara yang membawa kepada penahanan suspek berkenaan jam 7.45 malam tadi,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat dilakukan suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes pecah rumah bersama dua lagi rakannya yang ditahan terdahulu.

“Semakan mendapati suspek berkenaan mempunyai 13 rekod jenayah berkaitan kes komersial dan dadah.

“Kami percaya dengan penahanan ini, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di daerah ini,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 9:05 PM