ANGGOTA Tentera melakukan rondaan didalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Pasar Borong Kuala Lumpur.
ANGGOTA Tentera melakukan rondaan didalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Pasar Borong Kuala Lumpur.
BERNAMA

Cuti pegawai dan anggota tentera tidak dibekukan namun pemberiannya diperketatkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, pihaknya masih memberikan cuti kepada pegawai dan anggota yang bertugas terutama jika ia membabitkan hal kebajikan mereka khususnya kematian ahli keluarga anggota.

“Kebenaran bercuti akan diberikan berdasarkan kes-kes yang berlaku ke atas pemohon,” katanya selepas melawat lokasi Op Penawar di bawah Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Briged Kelapan Infantri (8 Briged) di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kok Lanas di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Panglima 8 Briged Brigidier Jeneral Zamsari Abu Hasan dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Dalam pada itu, Ahmad Hasbullah turut menasihatkan pegawai dan anggotanya agar menjaga kesihatan bagi mengelak mereka dijangkiti Covid-19.

“Kalau ada pegawai dan anggota tentera dah terkena jangkitan Covid-19 saya terpaksa laksanakan sekatan pergerakan satu kem. Itulah seriusnya jika ada pegawai atau anggota tentera dijangkiti,” katanya.

Beliau turut berharap agar pegawai dan anggota yang ditugaskan dalam operasi mengawal sempadan negara dan Op Penawar dapat melaksanakan tugas dengan baik terutama pada Ramadan ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 3:13 PM