TUMPAT 23 MAC 2020. Kawalan ketat di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
TUMPAT 23 MAC 2020. Kawalan ketat di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
BERNAMA

ORANG ramai diminta membantu pasukan keselamatan dalam membendung kemasukan warga asing ke negara ini secara tidak sah, dengan melaporkan kehadiran mereka di kawasan sempadan mahupun di ‘laluan tikus’.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, ia amat penting bagi memastikan tiada sebarang pencerobohan sempadan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan mencegah penularan wabak Covid-19.

“Keadaan di sempadan terkawal dan kita perketatkan dengan pelbagai cara... rondaan dan penggunaan alatan seperti dron di kawasan yang selalu dilalui.

“Tetapi negara ini luas... kita tidak boleh pantau setiap inci (tempat)... perlukan antara satu sama lain (kerjasama rakyat dan pihak berkuasa) untuk elak pencerobohan oleh warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Op Penawar di bawah tanggungjawab Briged Kelapan Infantri (8 Briged) di Kampung Gong Pauh, Kuala Terengganu, hari ini.

Lawatan itu bertujuan melihat perkembangan pelaksanaan dan penguat kuasaan PKP oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dibantu oleh anggota tentera.

Turut hadir, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik.

Dalam pada itu, Ahmad Hasbullah berkata, pihaknya juga terus mengawal ketat sempadan pada Ramadan ini bagi mengelak tercetusnya kluster baharu disebabkan kemasukan rakyat asing.

“Malaysia ini negara yang ramai orang nak datang kerana faktor orangnya yang baik-baik, ekonomi bagus dan penjagaan kesihatan terbaik. Jadi kita akan teruskan kawalan ketat di sempadan supaya tidak bolos dan elak timbul kluster baharu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 7:08 PM