PEMANTAUAN perairan negara diperhebatkan dengan penggunaan aset udara dan laut milik Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. FOTO ihsan Maritim Malaysia
PEMANTAUAN perairan negara diperhebatkan dengan penggunaan aset udara dan laut milik Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Hamzah Osman


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan aset udara dan laut di perairan Utara Selat Melaka bagi memperhebatkan pemantauan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, sepanjang PKP, APMM menghantar dua aset udara iaitu helikopter Agusta Westland AW139 dan AS365 N3 Dauphin, selain tiga kapal.

“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut membantu dengan menghantar dua pesawat dan tiga kapal bagi memperkasakan pemantauan,” katanya dalam kenyataan di Langkawi, hari ini.

Zulinda berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga menyertai operasi bersepadu itu menerusi pesawat pengangkut CN235.

“Kesemua aset kini sudah berada di kawasan titik panas dan pemantauan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memperkukuhkan kawalan perairan negara.

“Tindakan akan diambil terhadap pihak yang melakukan aktiviti tidak dibenarkan, kecuali nelayan memiliki lesen sah daripada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menguatkuasakan Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004 dan Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 1:30 PM