UCAPAN penghargaan terhadap guru yang menggunakan Google Classroom daripada Kementerian Pendidikan. FOTO FB KPM
UCAPAN penghargaan terhadap guru yang menggunakan Google Classroom daripada Kementerian Pendidikan. FOTO FB KPM
Hamzah Osman


MALAYSIA merekodkan carian frasa ‘Google Classroom’ tertinggi di dunia membuktikan guru di negara ini berdedikasi dan komited dalam tugas.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Anuar Hussin berkata, rekod itu menunjukkan ramai guru menyahut saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menggalakkan guru menggunakan pembelajaran maya.

“Ini menyangkal dakwaan dan tohmahan segelintir masyarakat mengatakan ‘cikgu makan gaji buta’ sepanjang berhadapan tempoh sukar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Malah, itu petunjuk guru prihatin dan sentiasa berusaha mencari kaedah terbaik membantu pelajar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan KPM menerusi Facebook (FB) dan Twitter, dimuat naik Jumaat lalu yang menghargai guru kerana berjaya meletak nama negara di peringkat global.

“Terima kasih cikgu! Google Classroom di Malaysia menjadi carian tertinggi di dunia pada 17 April 2020 jam 2.30 petang. Bukti usaha pendidik menggunakan pembelajaran dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan,” kata kenyataan itu.

Semakan mendapati status KPM di Facebook itu dikongsi 2,400 pemilik akaun FB lain, menerima 7,500 tanda suka dan 274 komen daripada warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 1:16 PM