AZMAN semasa membuat web seminar (webinar) tentang hala tuju E-Pembelajaran Johor. FOTO Ihsan pembaca
AZMAN semasa membuat web seminar (webinar) tentang hala tuju E-Pembelajaran Johor. FOTO Ihsan pembaca
Omar Ahmad

PEMBELAJARAN dalam talian di negeri ini dengan menggunakan platform ‘Google Classroom’ mendapat sambutan lebih 95 peratus murid dan pelajar.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Johor Azman Adnan berkata, kaedah pembelajaran ini relevan dan ia bermanfaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, E-Pembelajaran ini adalah sokongan kepada pembelajaran secara bersemuka di bilik darjah serta kelas.

“E-Pembelajaran ini mula digunakan tiga tahun lalu dan dioptimumkan penggunaannya sepanjang PKP selain semasa insiden pencemaran Sungai Kim Kim tahun lalu.

“Kita mula optimumkan E-Pembelajaran ini sejak cuti sekolah bermula 14 Mac lalu dan akan dilaksanakan sehingga PKP berakhir.

“Di Johor, ada 332,252 murid dan 246,203 pelajar. Sambutan E-Pembelajaran memang tinggi kerana 95 peratus golongan ini memiliki telefon pintar.

“Tenaga pengajar sukarelawan pembelajaran digital ini terdiri daripada 150 guru sekolah rendah dan 171 guru sekolah menengah,” katanya dihubungi.

Menurut Azman, Projek Khas Pembelajaran Maya Covid-19 diusahakan oleh Sektor Pembelajaran dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) JPN Johor.

Malah ada guru yang mengusahakan laman pembelajaran sendiri bagi membantu murid dan pelajar.

“Hasil penambahbaikan daripada sistem sebelum ini, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Waha, Hasrulnizam Hassan menghasilkan laman pembelajaran sendiri tanpa murid perlu log masuk.

“Pelbagai aplikasi di dalamnya seperti ‘Quizizz’, ‘Kahoot’, ‘YouTube’, ‘Google Classroom’, ‘question.pandai.org/video’, ‘eduwebtv.moe.edu.my/’, ‘SPMflix.com’, ‘PT3flix.com’, ‘UPSRflix.com’, ‘SJKCflix.com’, ‘SJKTflix.com’, ‘GCSEflix.com’, ‘youtube.com/user/astrotutortv, edunation.my/’ dan ‘jomstudi.my/’,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 3:48 PM