Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad

POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang meloloskan diri ketika pemeriksaan terhadap kenderaan yang dinaikinya bersama rakannya di Lunas, Kedah pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, suspek berusia 20 tahun itu sudah dikenal pasti dan usaha memburunya giat dijalankan.

Menurutnya, polis yang sedang membuat rondaan Ops Covid-19 di Sungai Lembu, Machang Bubok sebelum mengesan sebuah kereta dipandu seorang lelaki bersama rakannya yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berada dalam keadaan mencurigakan pada 6.30 petang.

Katanya, pemandu diarahkan menghentikan kenderaannya untuk pemeriksaan tetapi dia bertindak memecut laju hingga memasuki kawasan Kulim.

“Anggota polis itu kemudiannya menghubungi pasukan peronda lain termasuk dari Kulim bagi membantu menahan kenderaan dinaiki suspek.

“Lima kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis membantu mengejar kereta suspek sehingga ke Lunas sebelum kenderaan itu masuk ke lorong sebuah rumah ibadat dan terbabas.

“Dua suspek keluar dari kereta dan melarikan diri ke arah belakang rumah ibadat terbabit tetapi polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun manakala rakannya berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dalam kereta suspek kemudiannya menemui lima paket dadah jenis syabu seberat 250 gram, 19 biji pil eramin 5 dan 15 biji pil WY yang kesemuanya bernilai RM12,000 serta alat penimbang dan alat menghisap dadah,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan itu bersama rakannya yang lolos dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah terbabit.

“Rakannya kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 5:48 PM