Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Petaling Jaya: Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) kesal atas tindakan sebuah syarikat e-hailing menggantung akaun seorang penghantar makanan yang tular kerana menegur dua warga Singapura membeli minyak RON95.

Setiausaha PPRM, Haris Fadillah Arsyad berkata, tindakan syarikat terbabit yang menggantung akaun penghantar makanan berkenaan tanpa usul periksa dianggap sebagai tidak adil.

"Isu buli rider ini bukan kali pertama berlaku. Sebelum ini apa saja masalah antara rider dengan pelanggan, rider yang akan dipersalahkan.

"Apa saja isu membabitkan rider dan orang awam atau kemalangan kami (penghantar makanan) juga yang dipersalahkan," katanya pada sidang media di selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Penasihat PPRM, Bryan Ng Yih Miin berkata, laporan itu dibuat untuk menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dua individu warga asing yang didakwa membeli petrol bersubsidi, RON95 yang mana perbuatan itu menyalahi undang-undang.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat mengutuk tindakan dua warga asing berkenaan yang mengugut penghantar makanan terbabit.

BRYAN Ng bersama Ikmal Shahrin (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat. FOTO Hairul Anuar Rahim
BRYAN Ng bersama Ikmal Shahrin (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Berdasarkan Seksyen 351 Kanun Keseksaan, tindakan serangan dengan membuat isyarat dan melalui perkataan untuk menggunakan kekerasan terhadap individu adalah sebuah kesalahan yang serius.

"Selain itu, kami ingin menyoroti kesalahan jualan petrol subsidi oleh warga asing di Malaysia.

"Tindakan ini melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan bahawa hanya warga Malaysia saja yang dibenarkan membeli dan menggunakan petrol bersubsidi," katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan penghantar makanan yang bertengkar dengan dua warga asing di stesen minyak di Iskandar Puteri, Johor mendakwa akaun aplikasi pengendalian makanannya digantung.

Menerusi perkongsian di TikTok, lelaki tempatan berusia 44 tahun itu mendakwa, akaunnya itu digantung sejak jam 6 petang kelmarin.

Susulan itu, syarikat e-hailing terbabit dilaporkan sudah mengaktifkan semula akaun penghantar makanan berkenaan selepas siasatan terperinci dijalankan.

Akaun penghantar lelaki terbabit cuma digantung sementara bukan ditamatkan berikutan menerima aduan mendakwa lelaki berkenaan mengugut menggunakan senjata.

Pertengkaran itu dipercayai berpunca akibat salah faham apabila penghantar makanan terbabit menegur dua warga asing yang mengisi RON95 ke dalam tong dikatakan untuk kegunaan go kart.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 6:37 PM